Azman Shah Photo Blog

Life is a Journey

‘Kapal Karam’ Di Tengah Sawah Padi

>Jika kita ke Kedah, apa yang menarik perhatian kita adalah sawah padinya yang terhampar saujana mata memandang. Lebih menakjubkan bila melihat tersergamnya sebuah, hanya sebuah gunung batu di tengah-tengah sawah padi. Itu lah dia Gunung Keriang atau ada juga yang panggil Keriang Hill. Di situ terdapat satu resort yang bernama Keriang Hill Resort. Resort ini terletak di kaki Gunung Keriang, dengan berpanoramakan gunung batu kapur yang mempunyai sejarah dan mitosnya yang tersendiri tersergam indah Terletak 10 kilometer dari Bandar Alor Setar, Kedah, negeri yang tersohor dengan jolokan Jelapang Padi Malaysia.

Menurut mitos, Gunung Keriang ini berasal daripada sebuah kapal yang membawa Pengantin DiRaja iaitu seorang puteri yang telah disumpah oleh Sang Gedembai menjadi batu disebabkan puteri tersebut enggan berkahwin dengannya. Bukti yang menunjukkan Gunung Keriang berasal daripada sebuah kapal adalah berdasarkan dengan penemuan tali panjang sebesar lengan yang dipercayai tali sebuah kapal. Tali ini bersambung pada sauhnya yang turut terkena sumpahan Sang Gedembai tersebut. Gunung Keriang juga mempunyai gua di dalamnya yang dipercayai terdapat peninggalan serpihan-serpihan pinggan yang amat banyak kepunyaan tuan puteri. Terdapat juga batu yang berbentuk serombong kapal yang berlubang atau berongga di tengahnya. Ada juga batu yang menyerupai manusia, kelihatan berpakaian seperti pengantin Cina bersanggul lintang yang dipercayai ianya adalah tuan puteri yang terkena sumpahan.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa gunung ini berasal daripada sebuah pulau yang mengandungi banyak pokok keriang serta disitulah munculnya nama ‘Gunung Keriang’. Terdapat juga tanda-tanda yang menunjukkan gunung ini berasal daripada sebuah pulau berdasarkan penemuan kulit-kulit kerang dan kepah di sekitar gunung ini.

Next Post

Previous Post

© 2018 Azman Shah Photo Blog

Theme by Azman Shah